Kenyataan

SuratTerbuka untuk Ahli UMNO Sungai Buloh

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

1. Nama saya Isham Jalil. Saya dengan rendah diri ingin menawarkan diri untuk bertanding ke jawatan Ketua Bahagian UMNO Sungai Buloh bagi penggal 2018 – 2021.

2. Tujuan saya bertanding ke jawatan ini adalah untuk menyumbang tenaga dan akal fikiran kepada UMNO di Bahagian Sungai Buloh ini untuk memperkasakan parti, menjadi pembangkang yang kuat dan lantang bersuara dalam membawa dan memperjuangkan isu-isu rakyat di peringkat setempat, negeri mahupun nasional, dan seterusnya menarik kembali sokongan rakyat kepada UMNO.

3. Baru-baru ini saya telah menulis surat kepada YB Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agong UMNO akan hasrat saya untuk menukar bertanding daripada jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh kepada jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh. Sebelum ini saya bercadang untuk bertanding di peringkat Naib Ketua Bahagian. Namun saya berpandangan di tahap Naib Ketua Bahagian, tidak cukup banyak perubahan yang boleh saya lakukan di kala kita perlu membuat banyak perubahan dalam masa yang singkat.

4. Ada orang mencadangkan kepada saya supaya tunggu penggal depan untuk bertanding sebab ada satu lagi pemilihan UMNO pada penggal depan sebelum Pilihanraya Umum ke-15. Namun saya membuat keputusan akan bertanding di pemilihan UMNO pada penggal ini sebab saya bukan seorang opportunist yang ingin memegang jawatan UMNO hanya untuk mencari peluang bertanding pilihanraya. Niat dan nawaitu saya ialah untuk membuat kerja dan berkhidmat untuk memulihkan parti. Oleh sebab itu saya fikir inilah masanya yang paling kritikal untuk saya menyumbang khidmat kepada parti di kala UMNO berada di saat paling getir kini, dan bukannya menunggu untuk mencuri peluang setelah ribut sudah berlalu dan kapal telah diperbaiki atas penat lelah orang lain.

5. Saya telah beristikharah. Jawatan Ketua Bahagian ini kini adalah satu tanggungjawab yang berat dan besar. Saya sedar yang tanggungjawab ini bukannya mudah kerana keadaan kita kini bukan seperti dahulu. Ia memerlukan komitmen dan semangat juang yang kental dengan sepenuh jiwa raga. Dalam tiga tahun akan datang ini, kerja yang perlu dilakukan adalah banyak dan pulangannya tiada. Saya tidak mengharapkan apa-apa balasan, hanyalah pengorbanan kepada agama, bangsa dan tanahair.

6. Saya tidak mengejar jawatan atau kuasa. Kerana kini jawatan ini tidak lagi banyak bermakna. Kita bukan lagi kerajaan. Kuasa pun sudah tiada. Niat dan nawaitu saya dan apa yang saya tawarkan ialah untuk berkhidmat kepada tuan-tuan dan puan-puan secara sukarela dan percuma sebab saya sayang kepada UMNO. Kita perlu bersama-sama membela nasib UMNO dan orang-orang Melayu pada waktu yang getir ini. Inilah tawaran sumbangan dan pengorbanan saya kepada parti dan negara.

7. Kini kita bukan lagi Kerajaan. Kita tiada lagi sumber dana kerajaan atau jentera kerajaan untuk membantu kita dalam pilihanraya. Dan kini kita tidak boleh menewaskan Kerajaan Pakatan dengan wang ringgit. Sebab itu kita perlu menghapuskan politik wang di semua peringkat. Sebaliknya, kita perlu menggunakan idea dan semangat juang yang kental dan cara kerja yang berbeza.

8. Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan memilih saya sebagai Ketua Bahagian, saya menjanjikan 3 perkara berikut:

i. KHIDMAT SEPENUH MASA

Ketika saya berkhidmat di dalam kerajaan, saya banyak menumpukan masa dalam melaksanakan tugasan di peringkat nasional. Saya akui atas sebab kesibukan tugas tersebut, saya tidak dapat meluangkan banyak masa di Sungai Buloh. Namun kini, saya bukan lagi seorang pegawai kerajaan dan oleh itu saya akan menumpukan khidmat sepenuh masa di Sungai Buloh ini bersama akar umbi. Saya akan membawa pengalaman saya selama 20 tahun dalam kerajaan dan syarikat berkenaan kerajaan untuk berkhidmat untuk UMNO dan masyarakat di Sungai Buloh.

ii. KETELUSAN PENGURUSAN KEWANGAN DAN DANA BAHAGIAN

Saya memberikan komitmen untuk berusaha mencari dana bagi menampung perbelanjaan operasi bahagian. Walaupun kita tidak boleh lagi berbelanja besar kerana kekangan sumber kewangan kepada parti, namun perbelanjaan minimum seperti sewa pejabat, api, air, gaji kerani dan sebagainya perlu terus dibayar setiap bulan. Saya akan memastikan hal ehwal kewangan bahagian akan diurus dan ditadbir dengan telus, transparent dan adil dalam pembahagian peruntukan dana kepada bahagian mahupun kepada cawangan-cawangan.

iii. KETERBUKAAN DAN KETELUSAN PEMILIHAN CALON PILIHANRAYA

Saya juga akan melakukan pembaharuan dalam pemilihan calon-calon pilihanraya yang mewakili UMNO di Bahagian Sungai Buloh bagi peringkat DUN dan Parlimen. Dalam pembaharuan ini, semua ahli parti berpeluang menjadi calon, serta mencadang, menyokong dan mengundi siapakah calon pilihanraya pilihan mereka. Pemilihan calon ini akan dijalankan secara konsensus dan terbuka. Calon yang terpilih akan disokong penuh oleh Bahagian untuk dibawa ke peringkat pusat untuk pertimbangan.

Ini adalah janji dan perjuangan ikhlas saya.

9. Saya sertakan manifesto saya seperti di bawah bertajuk “HALATUJU ORANG MELAYU DAN UMNO PASCA 9 MEI” untuk pertimbangan tuan-tuan dan puan-puan. Manifesto ini mengandungi esei pendek berkenaan parti Melayu, Institusi Raja-raja Melayu, Republik, Isu 1MDB, GST, Dato’ Sri Najib, dan mengapa saya ingin bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh.

10. Esei yang telah dipendek dan diringkaskan ini adalah berdasarkan kepada pengalaman saya selama hampir 20 tahun berkhidmat untuk negara, dan ilmu dan pengetahuan yang telah saya timba dari dalam dan luar negeri serta semasa saya berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri selama lima tahun daripada tahun 2013 sehingga 2018.

Saya memohon sokongan daripada semua sahabat-sahabat ahli UMNO Bahagian Sungai Buloh untuk jawatan dan tanggungjawab ini.

Sekian, terima kasih.

Salam,
Isham Jalil
Calon Ketua Bahagian UMNO Sungai Buloh No. 3

KLIK untuk Muat Turun PDF

profilisham

0 comments on “SuratTerbuka untuk Ahli UMNO Sungai Buloh

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: