Kenyataan

YB KJ PERLU HALUSI PERJUANGAN UMNO DAN ORANG MELAYU

13 Julai 2018

1. Baru-baru ini YB Khairy Jamaluddin (KJ) membuat kenyataan bahawa UMNO akan lingkup dalam 10 ke 15 tahun lagi jika ia kini mengambil haluan ‘kanan’ dan bukannya ‘tengah’. YB KJ juga berkias bahawa UMNO ini racist dengan menyatakan berlaku manifestasi racist dalam UMNO setelah pemilihan baru-baru ini. Beliau juga pernah bercadang untuk membuka keahlian parti UMNO kepada bukan Melayu. Saya tidak bersetuju dengan cadangan ini. Jika ini berlaku maka parti UMNO akan menjadi bukan lagi parti Melayu dan lemah semangat perjuangan Melayunya.

2. UMNO bukanlah ke kanan, kiri atau tengah. Sejak ditubuhkan sehingga sekian lama, UMNO hanya mempunyai satu haluan sahaja, iaitu memperjuangkan nasib orang-orang Melayu dan Islam.

3. UMNO adalah parti Melayu. Dan ada sebab mengapa ianya perlu kekal sebagai parti Melayu. Orang-orang Melayu bukanlah suatu bangsa yang supremacist atau racist. Namun bangsa Melayu adalah bangsa yang terdedah kepada prejudis dan bias orang lain terhadap mereka, yang mudah menyebabkan mereka disisih dan dipinggir dan menjadi mangsa kepada supremacist atau racist. UMNO perlu kekal menjadi parti Melayu bukanlah kerana ianya supremacist atau racist, tetapi sebaliknya untuk mempertahankan orang-orang Melayu daripada menjadi mangsa supremacist atau racist dalam masyarakat.

4. Orang-orang yang mahu memburukkan UMNO sering menyatakan bahawa UMNO ini kononnya memperjuangkan “Malay supremacy”. Frasa ini seolah-olah menunjukkan yang UMNO dan orang-orang Melayu ini racist. Sebenarnya UMNO tidak pernah memperjuangkan “Malay supremacy”. Frasa ini datangnya daripada terjemahan frasa “ketuanan Melayu” yang disalah terjemah ke Bahasa Inggeris. Terjemahan yang betul kepada “ketuanan Melayu” bukanlah “Malay supremacy”. Malah orang-orang Melayu tidak pernah berkata bangsa Melayu ini adalah lebih superior atau hebat daripada bangsa lain. Sebaliknya yang biasa berlaku ialah bangsa lain yang menyatakan bahawa bangsa mereka adalah lebih superior daripada bangsa Melayu dan bangsa Melayu ini adalah inferior atau lemah.

5. Takrifan sebenar frasa “ketuanan Melayu” adalah Melayu sebagai tuan tanah di negeri ini. Iaitu orang-orang Melayu telah menetap di sini dan membina peradaban di sini sejak sekian lama, oleh itu mereka adalah “tuan” di tanah ini. Dalam sejarah dan mana-mana dokumen berkenaan ketuanan Melayu dan dalam mana-mana takrifan, tidak pernah ada kenyataan dan takrifan bahawa bangsa Melayu itu adalah bangsa yang mengaku mereka superior atau hebat berbanding bangsa lain. Orang Melayu bukan bangsa yang sombong dan bongkak, malah orang Melayu adalah satu bangsa yang terkenal dengan merendah diri. Sebab itu apabila orang lain menterjemah dan menakrifkan “ketuanan Melayu” itu dalam Bahasa Inggeris sebagai “Malay supremacy” ianya adalah suatu terjemahan yang amat salah dan tidak bertanggungjawab untuk menggambarkan bahawa orang Melayu dan UMNO ini racist. Namun hakikatnya adalah sebaliknya.

6. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir selalu berkata bahawa Melayu ini malas dan tidak pandai. Ini bukti yang bangsa Melayu ini tidakpun dianggap superior malah dianggap lemah. Anggapan Dr Mahathir ini adalah suatu bentuk prejudis dan bias dan “bigotry” terhadap orang-orang Melayu. Saya percaya dengan kata-kata Descartes iaitu “Cogito ergo sum” atau “Saya fikir oleh itu itulah saya”. Jika hari-hari kita kata dan fikir kita bodoh dan malas, mungkin kita akan menjadi begitu walaupun kita sebenarnya tidak bodoh dan malas.

7. Orang Melayu bukanlah bodoh dan malas, namun prejudis dan bias ini menghantui mereka dan menyebabkan mereka dibenci dan diperlekeh. Prejudis dan bias ini sebenarnya dimulakan semasa zaman penjajahan British dahulu sebagai propaganda untuk melemahkan pemikiran orang-orang Melayu. Propaganda yang sama dilakukan oleh orang kulit putih terhadap orang kulit hitam di Amerika dua ratus tahun yang lepas. Ramai tokoh-tokoh Melayu di pelbagai bidang yang berjaya. Mereka ini tidak malas dan bukan bodoh. Namun ramai yang terbantut peluang dan didiskriminasi akibat prejudis, bias dan stigma ini. Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton baru-baru ini berkata bahawa walaupun dunia telah moden dan berubah, masalah identiti (prejudis dan bias terhadap kaum) masih menjadi isu yang besar.

8. Akibat daripada prejudis dan bias ini, ramai orang Melayu masih sukar untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat-syarikat bukan Melayu, dan ramai usahawan-usahawan Melayu masih menghadapi masalah dalam perniagaan kerana sukar menembusi rangkaian perniagaan dan supply-chain atau rantaian bekalan yang dikuasai bukan Melayu. Ini adalah hakikat dan realiti.

9. Salah satu sebab mengapa keadaan sosio-ekonomi negara stabil selama berdekad lamanya sebelum ini ialah kerana ekonomi negara telah berkembang pesat selepas tahun 1970-an. Antara faktor utama perkembangan ini ialah kerana dasar ekonomi Bumiputera telah berjaya membina kelas pertengahan yang lebih besar. Orang Melayu telah keluar daripada kepompong kemiskinan dan masuk ke kelompok kelas pertengahan dan professional. Kini selepas 40 tahun dasar ekonomi Bumiputera, ramai anak-anak petani, nelayan dan penoreh getah Melayu yang dulunya miskin kini pulang ke kampung berhari raya sebagai jurutera, doktor, peguam dan akauntan. Dengan kelas pertengahan yang besar ini, pasaran pun telah menjadi lebih besar kerana pendapatan rakyat bertambah. Ini menguntungkan semua pihak bukan sahaja orang-orang Melayu malah peniaga-peniaga di sektor swasta yang kebanyakannya adalah bukan Melayu.

10. Dengan dasar ekonomi Bumiputera oleh Kerajaan dahulu, keadaan ekonomi orang-orang Melayu telah meningkat. Namun demikian, pecahan ekonomi negara yang disumbang oleh Kerajaan hanyalah satu per lima sahaja. Selebihnya iaitu empat per lima daripada ekonomi negara adalah di sektor swasta. Orang Melayu tidak menguasai sektor ini. Sebab itu selepas hampir 50 tahun dasar ekonomi Bumiputera, ekuiti Melayu dalam ekonomi adalah kurang daripada 20 peratus, walaupun bilangan orang-orang Melayu dan Bumiputera adalah melebihi 60 peratus. Ini menyebabkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi dan ketidakadilan ekonomi atau “inequity”.

11. Tanpa dasar ekonomi Bumiputera oleh Kerajaan dahulu, mungkin kini ekuiti Melayu berada jauh lebih rendah, seperti yang berlaku kepada etnik-etnik yang dipinggir di negara-negara lain yang tidak mengamalkan dasar intervensi kaum. Etnik yang dipinggir tidak semestinya minoriti. Di banyak negara, etnik majoriti yang dipinggir seperti yang berlaku di Afrika dan Amerika Selatan. Bekas Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher dalam bukunya Statecraft pernah menyatakan bahawa di Indonesia, kurang lima peratus rakyatnya iaitu daripada satu kaum minoriti menguasai lebih 80 peratus daripada ekonomi Indonesia. Kini di Malaysia, tiada lagi dasar ekonomi Bumiputera dan dasar intervensi kaum akan dihapuskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Ini akan menerukkan lagi masalah ketidakseimbangan sosio-ekonomi kaum dan masalah “inequity”.

12. Kini tahap cabaran kepada orang-orang Melayu adalah lebih serius dan di depan mata samada kita sedar atau tidak. Kita tidak lagi menguasai Kerajaan. Dalam kurang dua bulan ini berpuluh ribu penjawat awam telah diberhentikan kerja oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Hampir kesemua mereka ini adalah orang Melayu. Mereka bukanlah hanya statistik atau angka di atas kertas. Mereka ini adalah “real people” yang mempunyai kehidupan dan keluarga. Mereka ini akan dilambak di pasaran kerja dan perniagaan di sektor swasta dan bersaing dengan graduan-graduan yang baru keluar universiti. Seperti yang saya nyatakan di atas, kita tidak menguasai sektor swasta, dan kita tahu diskriminasi kerja berlaku di sektor swasta terhadap orang-orang Melayu. Ini mendatangkan masalah kepada kita apabila kini Kerajaan pun tidak ambil orang Melayu bekerja malah membuang lagi mereka.
Kerajaan Pakatan Harapan dan Penghapusan Dasar Tindakan Afirmatif Bumiputera

13. Selepas menang Pilihanraya Umum ke-14, pemimpin Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa dasar intervensi berdasarkan kaum atau dasar tindakan afirmatif seperti dasar ekonomi Bumiputera akan dihapuskan. Pakatan Harapan berpendapat bahawa dasar ini adalah racist. Sebenarnya dasar tindakan afirmatif seperti dasar ekonomi bumiputera dan Malaysian Indian Blueprint bukan racist malah adalah sebaliknya iaitu ianya adalah anti-racist.

14. Dasar tindakan afirmatif diwujudkan untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosio-ekonomi kaum akibat daripada diskriminasi kaum dan racism dalam masyarakat. Dalam sejarah, pejuang-pejuang yang memperjuangkan dasar tindakan afirmatif adalah seperti Presiden John F. Kennedy dan Dr Martin Luther King Jr di Amerika Syarikat dan Presiden Mandela di Afrika Selatan. Tokoh-tokoh ini bukan racist, malah jauh sekali, mereka menentang racism. Tanpa dasar tindakan afirmatif, masalah diskriminasi dan racism akan menjadi lebih teruk lagi.

15. Dahulu saya pernah berkata, di sesetengah perkara “Equal treatment policy can create unequal society”, atau dasar yang pukul rata akan menghasilkan masyarakat yang tidak sama rata. Ini adalah kerana latar belakang, persepsi dan tindakan masyarakat terhadap sesuatu kaum adalah berbeza-beza dan tidak sama. Jika tiada dasar intervensi kaum atau dasar tindakan afirmatif untuk memperbetulkan keadaan ini, masalah racism dan diskriminasi dalam masyarakat akan menjadi lebih ketara. Masalah ini perlu diperbetulkan melalui dasar intervensi atau tindakan afirmatif kerajaan. Dasar ini perlu diteruskan kepada kumpulan etnik dan setiap kaum yang memerlukan.

16. Dasar tindakan afirmatif berdasarkan kaum perlu diteruskan selagi adanya prejudis dan bias dalam masyarakat yang menyebabkan diskriminasi yang signifikan yang perlu diperbetulkan. Dari segi moral dasar ini perlu malah ianya sesuatu yang penting. Apa yang salah selama ini ialah cara perlaksanaannya iaitu cara kroni-kapitalisme. Ini yang telah merosakkan dan menjadi wabak penyebab penyakit politik wang. Ini yang perlu dibuang. Bukannya dasar tindakan afirmatif itu sendiri.

Diversiti dan kepelbagaian kaum bukan racism

17. Masyarakat Malaysia dan di dunia rata-rata masih tinggal dan hidup bersama komuniti etnik mereka sendiri. Di Malaysia setiap komuniti kaum mempunyai masalah mereka sendiri yang berbeza-beza. Orang Melayu mempunyai masalah berkenaan orang Melayu dan agama Islam, orang Cina dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah orang India seperti pengekalan adat resam dan budaya India termasuk sekolah dan bahasa Tamil.

18. Biarlah UMNO memperjuangkan nasib bangsa Melayu, MCA memperjuangkan nasib bangsa Cina, MIC memperjuangkan nasib bangsa India dan parti-parti lain memperjuangkan nasib bangsa mereka. Dan kita sama-sama memperjuangkan nasib semua kaum dalam satu integrasi. Dalam Kerajaan Barisan Nasional dahulu, kita bukan sahaja ada dasar ekonomi Bumiputera, kita juga ada Malaysian Indian Blueprint untuk menangani masalah kaum India dan memperkasa ekonomi mereka. Selama ini MCA dan MIC pun lantang memperjuangkan Bahasa ibunda dan sekolah Cina dan Tamil. Mereka boleh berbuat begitu sebab adanya parti dan organisasi berasaskan kaum. Ini bukanlah racist, namun adalah sebaliknya. Ianya adalah perjuangan ke arah pengekalan identiti, kepelbagaian budaya dan diversiti.

19. Jika UMNO bukan lagi parti Melayu, UMNO akan jadi seperti tiruan PKR dan akan hilang roh semangat perjuangan Melayu. Tanpa roh ini, UMNO bukan akan lingkup dalam 10 ke 15 tahun seperti yang diramal oleh YB KJ, malah lebih singkat lagi, mungkin dalam 2 ke 3 tahun sahaja dan ianya akan terus lenyap diarus zaman. Inilah yang pemimpin Pakatan Harapan mahukan. Kita tidak boleh terperangkap dengan helah ini.

20. Perubahan besar yang perlu dibuat dalam UMNO ialah membersihkan parti daripada politik wang dan bukannya membuang asas utama perjuangan parti iaitu untuk membela nasib orang-orang Melayu dan Islam. Jika UMNO bukan lagi parti Melayu, siapa yang akan memperjuangkan nasib orang-orang Melayu? Jika suatu masyarakat majoriti dipinggir dan mundur, negara tidak akan stabil dan maju.

21. Saya adalah seorang yang progresif. Saya percaya bahawa idea-idea asimilasi, meritokrasi secara pukul rata, pembatalan dasar intervensi kaum dan penghapusan institusi Raja-raja Melayu yang dibawa oleh Kerajaan Pakatan Harapan kini adalah idea-idea dasar dan ekperimentasi yang dangkal dan superfisial, dan adalah suatu arah yang salah dan bahaya yang akan membawa keburukan kepada negara dan rakyat Malaysia. Dasar-dasar dan cadangan-cadangan ini adalah cabaran yang lebih hebat kepada orang-orang Melayu dan negara kini daripada ancaman Malayan Union kepada orang Melayu dan negara pada tahun 1946 semasa penubuhan UMNO dahulu. Sebab itulah UMNO perlu kekal sebagai parti Melayu untuk memperjuangkan rintihan dan nasib orang-orang Melayu kini supaya tidak disisih, dipinggir dan ditinggalkan.

ISHAM JALIL
13 Julai 2018

0 comments on “YB KJ PERLU HALUSI PERJUANGAN UMNO DAN ORANG MELAYU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: