Setakat pukul 4.30 petang tadi, buku yang dicetak sebanyak 700 naskhah itu berjaya dijual sebanyak 500 dengan harga RM5.

Penulisnya, Isham Jalil berkata, buku yang lebih mengupas mengenai kewajaran kewujudan parti UMNO dan hala tuju orang Melayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu ditulis beliau sebulan selepas tarikh bersejarah itu.

“Hal ini menunjukkan bahawa orang UMNO dan Melayu sendiri mahu tahu apakah hala tuju parti tersebut dan orang Melayu. Adakah parti ini akan menjadi parti demokrat kepada semua kaum atau parti Melayu sahaja?

“Kenapa kita kena perjuangkan orang Melayu pada masa sekarang ini, semuanya dijelaskan dalam buku berkenaan dengan ringkas dan padat supaya pembaca mudah faham,” katanya ketika ditemui Utusan Online pada sesi penjualan buku berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Buku tersebut mula dijual pada pukul 12 tengah hari tadi sehingga pukul 6 petang esok di Kafe Riverside PWTC.

Menurut Isham yang juga merupakan Presiden Sukarelawan Malaysia, buku tersebut turut menjawab isu-isu berkenaan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan kerajaan terdahulu serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Turut dikupas isu-isu yang melibatkan ekonomi negara, institusi dan raja-raja Melayu. Banyak diterangkan konsep politik di Malaysia yang melibatkan bangsa dan agama seperti pembinaan negara bangsa, konsep asimilasi dan permasalahan dengan konsep tersebut, semuanya terjawab dalam buku ini.

“Sebulan selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU-14, ramai yang tidak menyangka dengan keputusan itu. Apabila berlaku kejutan seperti itu, orang ramai bertanya ke mana arah tuju kita termasuklah saya.

“Sebelum saya beritahu orang mana hala tujunya, saya perlu meyakinkan diri saya mengenai hala tuju orang Melayu dan UMNO dengan menulis,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE