Kenyataan

CUKAI BARU KERAJAAN DAN BAJET 2019

1. Semalam YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa Kerajaan akan memperkenalkan cukai baru. Saya telah menjangka perkara ini beberapa bulan yang lalu (lihat video). Saya berpendapat ini adalah satu lagi dasar yang memudaratkan rakyat oleh Kerajaan baru ini.

2. Apabila ekonomi tidak baik kita sepatutnya menurunkan cukai untuk menggalakkan ekonomi dan bukannya menaikkan cukai atau memperkenalkan cukai baru.

3. Alasan hutang negara RM1 trillion telah terbukti tidak benar dan tidak munasabah oleh pakar-pakar ekonomi dari dalam dan luar negeri. Hutang negara kita yang sebenar adalah jauh lebih rendah iaitu pada paras kurang RM700 billion atau 50 peratus dari pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan pengiraan piawaian antarabangsa.

4. Apabila cukai dinaikkan dan cukai-cukai baru diperkenalkan, ianya akan membebankan peniaga mahupun pengguna. Cukai-cukai ini akan meningkatkan kos untuk menjalankan perniagaan dan ianya juga mengurangkan pembelian barangan oleh pengguna yang terkesan apabila harga barangan meningkat akibat cukai. Apabila pengguna tidak beli barang, peniaga juga tidak dapat untung.

5. Ekonomi Malaysia kini menuju ke bawah akibat dasar-dasar Kerajaan baru ini. Petunjuk-petunjuk ekonomi membuktikan senario ini. Jumlah dagangan antarabangsa menurun dan ekonomi domestik juga tergugat. Sektor pembuatan yang berkembang pada paras 5% pada tahun lalu jatuh ke paras 3% kini. Sektor pembinaan pula jatuh daripada paras perkembangan 7% tahun lalu ke paras 4% kini. Unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini juga telah turun daripada 6% kepada 4-5%. Setiap 1% penurunan pertumbuhan ekonomi akan mengakibatkan anggaran 100,000 orang kehilangan peluang pekerjaan.

6. Hal ini diterukkan lagi dengan kehilangan kerja sedia ada oleh berpuluh-puluh ribu pekerja di sektor swasta akibat pembatalan atau kaji semula projek-projek infrastruktur seperti ECRL, HSR dan MRT oleh Kerajaan.

7. Kerajaaan juga dijangka akan mengurangkan perbelanjaan kepada rakyat dalam Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada bulan depan. Pada tahun lalu, Kerajaan memperuntukkan RM280 billion untuk rakyat dalam Bajet 2018. Pada tahun ini, adalah dijangka peruntukkan ini akan dipotong sebanyak sekurang-kurangnya RM10 billion. Jumlah ini adalah lebih kurang bersamaan dengan anggaran jumlah ketirisan SST, dan ianya juga adalah lebih kurang bersamaan dengan jumlah perbelanjaan bantuan untuk rakyat melalui BR1M oleh kerajaan dahulu. Bantuan-bantuan dan peruntukan-peruntukan lain juga akan dipotong termasuk kenaikan gaji dan elaun penjawat awam. Apabila ditanya kepada kerajaan kini, jawapan mereka ialah ini semua salah kerajaan dahulu.

8. Oleh itu kita kini berada di situasi di mana Kerajaan menaikkan cukai tetapi mengurangkan bantuan rakyat, membuang pekerja di sektor awam dan menghilangkan kerja di sektor swasta, serta mencari alasan dan menyalahkan orang lain untuk segala permasalahan daripada mencari penyelesaian. Ini adalah resipi malapetaka kepada ekonomi Negara.

ISHAM JALIL
10 Oktober 2018

0 comments on “CUKAI BARU KERAJAAN DAN BAJET 2019

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: