Kenyataan

CUKAI SELEPAS MATI

1. Dalam ucapan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir kelmarin, beliau ada menyatakan berkenaan bentuk cukai baru yang mungkin akan dikenakan. Beliau menyebut cukai karbon dan sebagainya. Ada laporan memetik bentuk cukai baharu yang mungkin diperkenalkan seperti Cukai Harta Warisan, Cukai Keuntungan Modal, Cukai Tanah dan Hartanah dan lain-lain. Kononnya cukai-cukai ini tidak akan membebankan rakyat.

2. Cukai adalah wajib dan perlu. Ini tidak dinafikan. Namun semua bentuk cukai adalah beban kepada rakyat. Tidak ada cukai yang tidak membebankan. Yang penting untuk difikirkan ialah bentuk cukai dan siapa yang dikenakan cukai tersebut dan kesannya. Ini supaya manfaat cukai tersebut adalah lebih besar dari mudaratnya dan bukan sebaliknya.

3. Sebenarnya, secara ringkas dan asas ada dua jenis cukai sahaja: Pertama cukai ke atas pendapatan (income tax) dan kedua cukai ke atas kepenggunaan (consumption tax).

4. Seperti dimaklumkan di atas, jenis cukai yang pertama adalah cukai pendapatan. Apabila kerajaan meningkatkan cukai ke atas pendapatan, ianya akan mengurangkan insentif untuk syarikat-syarikat supaya melabur dan juga untuk rakyat supaya bekerja lebih rajin dan kuat. Ini kerana lebih tinggi pendapatan kerana lebih produktif seseorang itu atau syarikatnya maka lebih banyak ia dikenakan cukai. Juga, jika cukai yang tinggi dikenakan kepada syarikat, maka syarikat-syarikat ini akan mengurangkan pengambilan pekerja dan ini akan mengecilkan lagi peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat. Oleh itu cukai pendapatan yang tinggi adalah tidak baik dan “counter-productive” kepada perkembangan ekonomi. Kerajaan sepatutnya memberikan lebih insentif untuk syarikat melabur dan menjadi lebih produktif dan supaya rakyat menjadi rajin untuk meningkatkan pendapatan dan bukannya menghukum mereka dengan cukai yang lebih tinggi apabila mereka lebih produktif.

5. Dan kebanyakan daripada syarikat-syarikat di Malaysia adalah syarikat-syarikat kecil dan sederhana yang mana lebih 90% daripada syarikat yang didaftarkan adalah di dalam kategori ini. Syarikat-syarikat ini adalah penjana-penjana peluang pekerjaan, jika mereka terkesan akibat cukai maka peluang pekerjaan juga akan terkesan.

7. Contoh cukai yang disebut mungkin diperkenalkan oleh Tun Mahathir dan Kerajaan Pakatan ialah Cukai Karbon. Cukai ini akan meningkatkan kos tenaga terutamanya kos elektrik. Ia akan memberi kesan ke atas pendapatan syarikat penjana elektrik dan kos ini akan dipindahkan kepada pengguna. Ini akan meningkatkan keseluruhan kos sara hidup rakyat memandangkan semua perniagaan dan rakyat akan terkesan apabila bil elektrik meningkatkan. Cukai ini sesuai jika ekonomi negara telah maju dan matang sebagai “advanced economy” dan pendapatan rakyat telah tinggi, namun kepada negara yang sedang membangun atau baru masuk ke kategori negara maju, ianya akan membebankan pertumbuhan ekonomi di mana negara memerlukan sumber tenaga yang murah untuk membangun. Di Amerika Syarikat dan Eropah, walaupun mereka telah maju sekalipun mereka masih teragak-agak untuk melaksanakan cukai ini.

8. Cukai Keuntungan Modal akan menyebabkan pelabur asing lari dari Malaysia dan lebih teruk lagi pelabur tempatan membawa keluar modal dan melabur ke luar negeri. Ini akan menguncupkan pasaran modal di Malaysia dan menyebabkan kos mendapatkan modal pelaburan atau pinjaman perniagaan menjadi lebih tinggi di Malaysia.

9. Cukai Tanah dan Hartanah akan meningkatkan harga rumah dan premis-premis perniagaan. Ini telahpun berlaku terutama di Selangor dan Pulau Pinang sejak sepuluh tahun yang lalu apabila Kerajaan Negeri di kedua-dua buah negeri ini menaikkan cukai-cukai ini sehingga kutipan cukai meningkat berlipat kali ganda dan harga rumah melambung tinggi sehingga rakyat biasa tidak mampu membeli rumah. Saya pernah menulis berkenaan isu ini sebelum ini di sini:

https://www.bharian.com.my/…/masalah-manifesto-ekonomi-paka…

10. Cukai Harta Warisan pula adalah cukai yang dikenakan ke atas harta peninggalan kepada warisan. Cukai ini seolah menghukum orang yang mengumpul harta usaha seumur hidupnya dan ditinggalkan kepada warisan atau keturunannya selepas kematiannya. Kebiasaannya, harta peninggalan ini dipindah kepada beberapa waris dan tidak semua waris ini adalah orang berada. Jika kerajaan memperkenalkan cukai ini maka rakyat akan membayar cukai ke atas asetnya sebanyak dua kali kepada kerajaan: pertama semasa beliau hidup dan kedua apabila beliau mati. Dengan cukai ini, apabila kita mati pun kita kena bayar cukai kepada kerajaan. Ini adalah Cukai Mati.

11. Semua cukai-cukai di atas yang mungkin diperkenalkan dan dikenakan kepada rakyat oleh Kerajaan adalah satu bentuk cukai ke atas pendapatan dan pelaburan yang akan merenjatkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kos sara hidup rakyat semasa hidup sehinggalah selepas mati.

11. Seperti dinyatakan di atas, jenis cukai yang kedua adalah cukai kepenggunaan. Apabila kerajaan mengenakan cukai ke atas kepenggunaan pula, ianya akan menaikkan harga barang. Namun jumlah cukai yang dikenakan kepada rakyat bergantung kepada nilai barangan yang dibeli, lebih mahal harga barang tersebut, lebih tinggi cukai yang dikenakan. Orang-orang yang kaya yang mampu dan mahu untuk membeli barangan mewah yang lebih mahal akan membayar cukai yang lebih tinggi berbanding rakyat biasa yang berbelanja dengan sederhana atau mengikut kemampuan. Cukai kepenggunaan yang tinggi ke atas barangan berharga tinggi ini juga bergantung kepada pilihan, samada pengguna mahu membeli atau tidak. Ini berbanding dengan cukai pendapatan yang mana mahu atau tidak mahu semua orang terpaksa membayarnya.

12. Oleh itu, jika kerajaan perlu memilih di antara mengenakan cukai baru ke atas pendapatan ataupun cukai ke atas kepenggunaan, pada pandangan saya cukai ke atas kepenggunaan adalah lebih baik berbanding cukai ke atas pendapatan oleh sebab-sebab di atas. Satu keburukan cukai kepenggunaan ini adalah manipulasi harga dan ketirisan kutipan cukai kerana peniaga yang tidak bertanggungjawab senang lari dari membayar cukai seperti yang berlaku dengan SST. Masalah ini dapat ditangani dengan sistem GST dahulu. Namun kini apabila Kerajaan kembali kepada SST, masalah ini berlaku semula dan Kerajaan hilang pendapatan berbillion ringgit akibat ketirisan dan terpaksa pula memperkenalkan cukai-cukai baru yang lain untuk menutup lubang ini. Cukai-cukai yang bakal diperkenalkan ini besar kemungkinannya adalah cukai ke atas pendapatan dan pelaburan seperti di atas.

13. Sebenarnya, jika pemimpin-pemimpin Kerajaan ini rasional dan ikhlas, lebih baik Kerajaan kembali sahaja kepada GST yang dapat menutup lubang ketirisan kutipan cukai kepenggunaan SST berbanding memperkenalkan cukai-cukai baru ke atas pendapatan dan pelaburan yang akan merudumkan ekonomi dan lebih membebankan rakyat. Janganlah kerana ego, ekonomi negara diranap olehnya.

ISHAM JALIL
13 Oktober 2018

 

0 comments on “CUKAI SELEPAS MATI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: