Uncategorized

TIGA PERKARA PENTING TENTANG LANGKAH NAZRI (JANGAN ANGKAT BENDERA PUTIH DAN SERAH DIRI SEBELUM MELAWAN)

Semalam ada berita tergempar berkenaan beberapa pemimpin UMNO yang mahu bekerjasama dengan DAP dan PKR melalui bakal Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ada juga pemimpin-pemimpin UMNO yang mahu bekerjasama dengan PPBM melalui Perdana Menteri sekarang Tun Dr Mahathir. Semua pemimpin-pemimpin ini merancang untuk keluar UMNO dan masuk PH dengan harapan dapat bersama-sama kembali dalam Kerajaan dan mungkin mendapat semula jawatan.

Sebagai ahli biasa dan marhaen UMNO di akar umbi, saya amat tidak bersetuju dengan langkah ini. Terdapat tiga perkara penting berkenaan langkah yang dicadangkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO ini:

Pertama, pemimpin-pemimpin yang membawa cadangan ini nampak terang-terangan adalah cepat mengalah. Hanya tujuh bulan selepas kita kalah pilihanraya dan menjadi pembangkang, belum apa-apa mereka terus menyerah diri dan menyatakan ayat-ayat pengalah (defeatist) seperti “baik kita berunding dan lompat parti kerana sukar untuk kita menang kembali”, “UMNO sudah tiada harapan” dan sebagainya.

Dalam sejarah dunia yang melibatkan banyak perjuangan, memang selalu ada orang-orang sebegini. Orang-orang begini apabila diseru ke medan peperangan, mereka akan lari atau berpaling tadah atau berunding dengan musuh.

Pada zaman Rasulullah dahulu semasa perang Tabuk, akibat perjalanan yang jauh dan mencabar dari Madinah ke medan peperangan di Tabuk, terdapat sekumpulan orang yang tidak pergi berperang namun bukan kerana uzur, tetapi kerana mereka lebih mementingkan kebun anggur dan tamar mereka yang sedang ranum.

Kedua, langkah ini adalah satu strategi yang salah. Sekiranya kita ingin berunding dengan pihak lawan sekalipun, kita perlu berunding dari posisi yang kuat dan bukan dari posisi yang lemah.

Apabila kita belum lagi berlawan tetapi terus mengangkat bendera putih dan memberikan insyarat kepada pihak lawan bahawa kita mahu berunding, secara tidak langsung kita memberitahu mereka bahawa kita ini terdesak dan ini meletakkan diri kita di posisi yang lemah untuk berunding. Semua orang yang berpengalaman berunding tahu yang dalam situasi sebegini kita akan rugi dalam rundingan.

Sepatutnya kita menguatkan diri kita dan kita lawan seteru kita terlebih dahulu. Apabila kita kuat, kita akan mempunyai lebih banyak pilihan samada mahu berunding atau tidak. Jika mereka atau lawan kita mahu berunding dengan kita pada ketika itu, maka posisi kita untuk berunding akan menjadi lebih baik.

Ketiga, sekiranya ramai ahli parlimen BN melompat parti kepada PH dan Kerajaan, maka pembangkang akan menjadi lemah dan negara kita mungkin menuju ke arah sistem satu parti yang menyebelahi Kerajaan. Ini tidak baik untuk rakyat dan Negara kerana ketiadaan semak imbang yang kuat dan efektif dari pembangkang. Ini akan menyebabkan lebih banyak masalah salah guna kuasa dan rasuah dalam Kerajaan.

Sebelum ini saya pernah berkata bahawa BN kalah Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu sebab orang muda tidak sokong BN. Sebenarnya ada satu lagi sebab besar mengapa kita kalah pilihanraya umum yang lepas: kita kalah sebab orang-orang Melayu berpecah teruk. Sejak dahulupun orang Melayu berpecah, namun ianya tidaklah seteruk PRU-14 yang lalu yang menyaksikan undi Melayu pecah kepada lima parti: UMNO, PAS, PKR, PPBM dan PAN. Ini menguntungkan PH terutamanya DAP.

Selama ini kita boleh bertahan dalam pilihanraya jika undi Melayu berpecah tiga, tetapi bukan berpecah lima. Dan kita kalah sebab pertandingan tiga penjuru BN-PAS-PH merugikan kita sebab 75% undi Melayu yang tidak menyokong PH berpecah pula kepada dua di antara UMNO dan PAS. Sekiranya undi ini tidak pecah, mustahil PH boleh menewaskan kita. Jika tidak ada pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14 yang lepas, BN dan PAS berkemungkinan besar akan menang di tambahan 20 kerusi Parlimen dan boleh berjaya membentuk Kerajaan.

Sebab inilah saya selalu berkata bahawa perkara utama yang perlu kita selesaikan terlebih dahulu untuk merampas kembali Kerajaan ialah menyatukan orang-orang Melayu dan Islam. Jika 75% orang Melayu ini bersatu, kita akan berjaya. Walaupun PAS selalu bermain tarik tali dengan kita, namun saya pasti mereka pun sebenarnya sedar akan perkara ini.

Merunding dengan pihak lawan sebelum kita menguatkan diri kita dengan penyatuan dan sebelum berlawan dengan PH di arena politik terlebih dahulu adalah suatu arah yang salah, terdesak dan seolah pengecut.

Setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan tidak akan tercapai dengan mengambil jalan yang mudah. Perjuangan untuk agama, bangsa dan tanahair memerlukan pengorbanan yang sukar dari segi masa, tenaga, harta waima nyawa.

Jika ahli-ahli Parlimen UMNO melompat masuk PH dan Kerajaan, mereka mungkin dijanjikan habuan atau jawatan, namun besar kemungkinan jawatan ini bukanlah jawatan yang penting dan utama dalam Kerajaan sebab lebih ramai lagi ahli-ahli politik PH yang sedang berebut jawatan dalam Kerajaan sekarang. Oleh itu ahli-ahli Parlimen BN yang melompat parti ini akan terpaksa mengikut telunjuk parti dominan PH iaitu DAP atau puak-puak liberal dalam PKR. Kumpulan-kumpulan ini tidak akan membenarkan agenda Melayu dan Islam dibawa.

Sekiranya ahli-ahli Parlimen UMNO melompat masuk PPBM pula, kumpulan-kumpulan di atas juga tidak akan membenarkan PPBM menjadi terlalu kuat, dan jika semua ahli-ahli Parlimen UMNO masuk PPBM pun, ianya tidak boleh menandingi jumlah ahli parlimen DAP dan PKR dalam Kerajaan. Oleh itu agenda Melayu dan Islam akan terkubur jua.

Apabila PH menang Pilihanraya Umum ke-14 yang lepas, ramai juga orang Melayu yang bersorak. Mereka sebenarnya menang sorak, namun kampung tergadai. Yang menang bersorak itu ialah parti PPBM dan pemimpin-pemimpin Melayu PKR, yang tergadai itu ialah semua orang-orang Melayu. Adakah kini kita mahu menyertai mereka-mereka yang bersorak ini dan menggadaikan orang-orang Melayu lagi?

ISHAM JALIL
Marhaen UMNO
14 Disember 2018

0 comments on “TIGA PERKARA PENTING TENTANG LANGKAH NAZRI (JANGAN ANGKAT BENDERA PUTIH DAN SERAH DIRI SEBELUM MELAWAN)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: