Kenyataan

KERAJAAN PERLU BERTERUS TERANG JIKA PEMBUNUHAN ADIB ADALAH JENAYAH PERKAUMAN (‘HATE CRIME’)

Saya faham mengapa pihak Kerajaan dan YAB Perdana Menteri terlalu cepat untuk mengkategorikan kes rusuhan di Seafield bulan lepas yang telah mengakibatkan kematian anggota bomba arwah Adib sebagai bukan kes perkauman.

Ini berkemungkinan besar dilakukan atas sebab-sebab keselamatan awam dan untuk meredakan keadaan supaya ianya tidak menjadi lebih teruk yang boleh menyebabkan rusuhan kaum merebak ke seluruh negara pada ketika itu.

Dan ianya mungkin juga untuk kestabilan politik Kerajaan yang memerintah.

Saya pernah menjadi pegawai tinggi kerajaan (JUSA B) dan telah berkhidmat dengan Kerajaan selama banyak tahun sebelum ini, oleh itu saya amat faham sekiranya Kerajaan mengambil tindakan sedemikian pada ketika itu.

Pihak polis telah menjalankan tugas mereka dengan baik untuk mengawal keadaan selepas rusuhan untuk memastikan ianya tidak merebak menjadi lebih besar.

Walaubagaimanapun, jika dilihat daripada komen-komen di media sosial berkenaan isu ini yang mengandungi banyak unsur-unsur perkauman, secara terang-terangan dapat disimpulkan bahawa rakyat rata-rata tidak percaya kepada kenyataan Kerajaan yang berkali-kali menyatakan bahawa kes rusuhan tersebut tidak ada kena mengena dengan isu perkauman.

Untuk memastikan insiden ini tidak berulang, apabila keadaan sudah reda, kita perlu menyuluh kepada kebenaran dan mencari punca sebenar mengapa insiden ini berlaku walaupun kita terpaksa melayari isu perkauman yang sensitif ini yang kebanyakan ahli politik tidak mahu sentuh langsung atau was-was dari membincangnya kerana tidak mahu terbakar jari.

Namun isu ini adalah amat penting dan melangkau politik. Isu ini adalah kritikal dalam menentukan jatuh bangunnya Negara ini, oleh itu ianya perlu dibincangkan dengan serius dan bukan disorok di bawah karpet sehingga bernanah.

Sebab jika pembunuhan arwah Adib tersebut adalah satu jenayah perkauman atau ‘hate crime’, dan arwah Adib dibunuh oleh sebab warna kulit, agama atau bangsa beliau, maka kita perlu membuka mata dan mencari penyelesaian dengan lebih serius ke atas masalah hubungan kaum di negara ini.

Ada yang bertanya satu persoalan kritikal: Adakah mungkin arwah Adib tidak akan dibelasah di tempat kejadian semasa insiden rusuhan itu berlaku sekiranya beliau bukan berbangsa Melayu dan beragama Islam?

Jika jawapan kepada persoalan di atas adalah ya, maka kebarangkaliannya ialah pembunuhan beliau adalah satu jenayah perkauman atau ‘hate crime’ dan bukan seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri dan Kerajaan sebelum ini. Ini perlu disiasat selanjutnya oleh Kerajaan.

Sebab sekiranya ianya adalah satu isu perkauman dan kita mengakuinya, maka kita berada di langkah pertama ke arah tindakan pembetulan, dan perbincangan yang bertamadun boleh dilakukan antara pihak-pihak yang berkenaan di peringkat Kerajaan dan bukan kerajaan apabila keadaan semakin reda.

Namun jika kita terus menafikannya walaupun ianya betul isu perkauman, maka paradoksnya keadaan akan menjadi lebih teruk seperti yang kita lihat sekarang kerana banyak pihak-pihak yang berkaitan di kerajaan dan bukan kerajaan yang mampu membuat perubahan dalam hal hubungan kaum ini tidak akan berbuat apa-apa.

Ini menyebabkan retorik perkauman akan lebih menjadi-jadi di kalangan rakyat terutamanya di media sosial.

Zaman sekarang tidak sama dengan zaman 20-30 tahun dahulu di mana dahulu kerajaan boleh mengawal semua media.

Zaman media sosial kini, lagi kerajaan menafikan atau cuba menyorok sesuatu perkara, lagi isu itu menjadi panas kerana tiada tindakan pembetulan dilakukan.

Oleh itu dalam hal ini Kerajaan perlu menjalankan siasatan menyeluruh dan mengenalpasti sekiranya jenayah pembunuhan arwah Adib tersebut adalah satu jenayah perkauman (‘hate crime’) atau tidak dan bukannya terus membuat tanggapan secara ringkasan (‘summarily’) yang ianya tidak ada kena mengena dengan isu perkauman.

Dan yang lebih penting, kita tidak boleh hanya memejam sebelah mata dan terus menipu diri kita sendiri untuk penyelesaian jangka pendek yang menyebabkan kita alpa untuk mencari penyelesaian jangka panjang yang berkesan dan berkekalan untuk masalah sekritikal ini.

……………………………..

MENGAPA PERDANA MENTERI PERLU PECAT MENTERI PERPADUAN

Minggu lalu Menteri Perpaduan, yang juga terlibat dengan isu di Seafield tersebut, sekali lagi menekankan bahawa Kerajaan perlu meratifikasi ICERD walaupun Perdana Menteri telah menyatakan yang Kerajaan tidak akan meratifikasinya.

Pada hemat saya, apa yang Menteri Perpaduan ini tidak faham atau keliru (seperti juga kekeliruan dan kekhilafan beliau berkenaan isu di Seafield bulan lepas) ialah paradoksnya, meratifikasikan ICERD di Malaysia akan membuatkan masalah diskriminasi dan perkauman di negara ini menjadi lebih teruk dan bukannya sebaliknya

(baca buku berkenaan ICERD di Malaysia di sini: https://ishamjalil.wordpress.com/2018/12/07/icerd-dan-mengapa-semua-kaum-di-malaysia-perlu-menolaknya/).

Sebab itu, setelah dua kali beliau terkhilaf yang telah mengakibatkan dua kesan yang besar yang menyebabkan ketegangan hubungan kaum dalam tempoh hanya beberapa bulan ini (rusuhan di Seafield dan himpunan anti-ICERD), saya telah menyarankan supaya beliau meletakkan jawatan.

Sebab ini juga saya berpendapat bahawa beliau akan menerukkan lagi masalah perpecahan kaum dan membawa mudarat kepada hubungan kaum di Malaysia dan jauh sekali menyatupadukan rakyat, oleh itu beliau tidak layak untuk menjadi Menteri Perpaduan.

Terdahulu beliau pernah menyampaikan ucapan yang berbaur perkauman yang tersebar di media sosial.

Bagaimana sebelum ini Perdana Menteri boleh melantik beliau untuk menjadi Menteri Perpaduan adalah melangkau pemikiran saya.

Kini, setelah kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh beliau, jika Menteri Perpaduan ini masih tidak mahu meletakkan jawatan, Perdana Menteri boleh memecat beliau.

Namun, apakah YAB Perdana Menteri berani mengambil tindakan ini untuk kepentingan rakyat dan Negara atau masih mahu memberikan beliau peluang?

Lebih lama beliau memegang jawatan itu, lebih banyak kerosakan yang mungkin dilakukannya. Dan setiap kerosakan berkaitan dasar hubungan kaum oleh Kerajaan membawa implikasi yang serius dan kritikal kepada rakyat dan Negara.

……………………………..

KEADILAN UNTUK ADIB

Apabila tragedi 13 Mei 1969 berlaku, kita mengakui ianya adalah satu insiden perkauman, lalu kita bingkas mencari jalan penyelesaian dan menggubal dasar-dasar yang yang sesuai untuk memastikan tragedi itu tidak berulang kembali.

Kita telah bangkit dan membuat langkah pembetulan walaupun Perdana Menteri pada ketika itu telah dipaksa meletak jawatan.

Akibat daripada itu, selama 49 tahun selepas Mei 1969 tiada tragedi rusuhan kaum yang mengakibatkan kematian berlaku di negara ini sehinggalah insiden bulan lepas di Seafield.

Apa yang berlaku pada bulan lepas adalah satu tragedi. Kini kita perlu sekali lagi mencari jalan penyelesaian.

Sebaliknya, jika kita mengambil mudah dan terus membuat tanggapan yang insiden rusuhan di Seafield adalah bukan isu perkauman hanya untuk menyedapkan hati, masalah ini akan menjadi semakin terbuku dan membarah tanpa penyelesaian.

Sebab inilah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat perkara ini secara mendalam dan menyeluruh adalah amat penting dan diperlukan.

Selepas Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu, Kerajaan telah berubah, dan banyak perkara telah berubah.

Namun adakah kehidupan kita hari ini adalah lebih baik daripada sebelumnya? Atau adakah ia sebaliknya?

Arwah Adib telah pergi meninggalkan kita di usia yang muda akibat dibunuh. Beliau perlu mendapat keadilan.

Jangan biarkan insiden ini berulang lagi ke atas orang lain atau bernanah menjadi lebih parah dan meletus di masa akan datang.

ISHAM JALIL
Presiden Sukarelawan Malaysia
19 Disember 2018

……………….

(P/S: Saya mengambil maklum bahawa artikel di atas adalah sedikit panjang untuk kegunaan media sosial. Namun saya percaya sesuatu perbincangan yang sepenting ini tidak boleh diringkaskan kepada hanya 140 karakter huruf di Twitter atau beberapa perenggan sahaja. Apa-apapun saya ucapkan terima kasih kerana sudi membaca. Salam)

0 comments on “KERAJAAN PERLU BERTERUS TERANG JIKA PEMBUNUHAN ADIB ADALAH JENAYAH PERKAUMAN (‘HATE CRIME’)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: