Rencana

IMPLIKASI KEJATUHAN HARGA MINYAK DUNIA KEPADA BAJET 2019 DAN PENJUALAN ASET KERAJAAN

Saya mendapat laporan semalam bahawa harga minyak mentah dunia telah turun ke paras di bawah 60 dollar Amerika se-tong (USD49.88 WTI dan USD59.61 Brent).

Sebulan yang lepas semasa Bajet 2019 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, harga minyak dunia adalah sekitar 70 dollar Amerika se-tong.

Pada ketika itu Menteri Kewangan telah menyediakan Bajet 2019 dengan mengandaikan bahawa harga minyak dunia berada di paras 72 dollar Amerika se-tong.

Turun naik harga minyak dunia ini adalah penting kepada ekonomi Negara kerana perbelanjaan Kerajaan bergantung kepada kutipan hasil, dan kutipan hasil Kerajaan kini banyak bergantung kepada harga minyak yang dijual dan dieksport.

Apabila harga minyak dunia kini jatuh sebanyak lebih 12 dollar Amerika se-tong di bawah paras andaian 72 dollar Amerika yang digunakan oleh Kerajaan PH untuk menyediakan Bajet 2019, ini membawa implikasi yang besar di mana hasil kutipan minyak untuk menampung perbelanjaan kini telah jatuh sebanyak lebih 16%.

Semasa zaman Kerajaan BN memerintah (terutama era Dato’ Seri Najib), kita telah menyedari tentang kesan turun naik harga minyak dunia yang tidak boleh kita kawal kepada ekonomi Negara.

Apabila harga minyak dunia naik kita akan dapat pendapatan lebih, namun apabila harga minyak turun kita akan hilang pendapatan.

Oleh sebab itu Kerajaan BN di bawah Dato’ Seri Najib dahulu telah membuat keputusan bahawa kita tidak boleh terlalu bergantung kepada hasil minyak untuk menampung perbelanjaan Kerajaan dan Negara kerana ianya tidak stabil.

Perdana Menteri pada ketika itu, Dato’ Seri Najib telah mengambil keputusan untuk mempelbagaikan hasil cukai dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak.

Untuk ini GST telah diperkenalkan untuk menstabilkan pendapatan Kerajaan dan juga untuk mengurangkan ketirisan kutipan cukai.

Dengan langkah-langkah ini, sekiranya harga minyak dunia jatuhpun seperti sekarang hasil pendapatan Kerajaan masih stabil dan tidak terlalu terkesan.

Semasa zaman Perdana Menteri Dr Mahathir 1.0 pada tahun 1982-2004 dahulu, kebergantungan hasil kerajaan kepada minyak adalah setinggi 30%-50%.

Pada zaman Dato’ Seri Najib sebagai Perdana Menteri, beliau telah mengurangkan kebergantungan hasil Kerajaan kepada minyak ini ke paras serendah 14%.

Akibatnya ekonomi Malaysia telah menjadi lebih berdaya tahan (resilient) dengan pertumbuhan sebanyak 6% setahun, lebih kurang dua kali ganda daripada purata pertumbuhan ekonomi dunia pada ketika itu dan pertumbuhan ekonomi Malaysia kini.

Namun kini, di zaman Perdana Menteri Dr Mahathir 2.0, dalam hanya beberapa bulan sahaja, kebergantungan hasil Kerajaan kepada minyak telah meningkat kembali ke paras 30%.

Kini, apabila harga minyak dunia jatuh sebegini dan GST pula digantikan dengan SST yang banyak ketirisan, hasil Kerajaan akan berkurangan sebanyak berbillion-billion ringgit dan ini memberikan kesan negatif kepada perbelanjaan Kerajaan dan ekonomi Negara.

Adalah dianggarkan, setiap satu dollar kejatuhan harga minyak dunia akan menyebabkan Kerajaan hilang pendapatan sebanyak RM1 billion setahun (secara langsung daripada dividen Petronas kepada Kerajaan dan secara tidak langsung daripada kekurangan pendapatan Petronas secara keseluruhan).

Oleh itu, adalah dianggarkan setakat ini Negara atau Kerajaan mempunyai kekurangan pendapatan atau lompong belanjawan sebanyak RM5-RM11 billion untuk menampung perbelanjaan Bajet 2019 akibat kejatuhan harga minyak dunia ini. Ini adalah satu lompong belanjawan yang besar.

Ini diterukkan lagi dengan ketirisan cukai SST yang dianggarkan berjumlah RM5-10 billion setahun.

Oleh kerana kesan kesilapan-kesilapan dasar ini, besar kemungkinan Kerajaan PH sekali lagi tidak akan menunaikan janji-janji mereka, bukan sahaja untuk Manifesto PRU-14 malah juga untuk Bajet 2019.

Dan kali ini mereka tidak boleh lagi menyalahkan Kerajaan BN dahulu, sebab kesan-kesan di atas terang-terangan adalah air tangan dan akibat pendek akal pemimpin-pemimpin Kerajaan PH itu sendiri:

Pertama, siapa suruh mansuhkan GST dan gantikan dengan SST yang tiris?

Kedua, siapa suruh tingkatkan kebergantungan hasil kerajaan kepada minyak?

Ketiga, siapa suruh buat andaian harga minyak akan kekal di paras setinggi 72 dollar se-tong untuk buat Bajet 2019?

Keempat, siapa suruh buat dasar-dasar dengan tak fikir panjang?

Ini semua tidak ada kena mengena dengan hutang negara kerajaan dulu.

Seperkara lagi, bukankah dulu pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli politik bijak pandai dalam PH ini pernah mengatakan yang bila harga minyak dunia turun maka harga minyak di pam di Malaysia juga patut diturunkan?

Kini harga minyak dunia telah turun. Di manakah mereka-mereka ini menyorok sekarang? RM1.50 kot??

Kepada YB Menteri Kewangan, pakailah akal apabila membuat dasar ekonomi. Jangan main hantam sahaja.

Dan jika tidak tahu, jangan sombong untuk bertanya. Ini kerana setiap dasar yang dibuat membawa implikasi yang besar kepada rakyat dan Negara.

Untuk menutup lompong belanjawan berbillion ringgit dan menutup kesilapan mereka, Menteri Kewangan dan Kerajaan PH kini mempunyai tiga pilihan:

Pertama, memotong lagi peruntukan- peruntukan dalam Bajet 2019.

Sebelum ini kita telah lihat Kerajaan PH telah memotong atau menghapuskan bantuan kepada golongan miskin dan B40 walaupun jumlah perbelanjaan keseluruhan dalam Bajet 2019 meningkat sebanyak RM30 billion.

Kini dengan kekurangan hasil akibat kejatuhan harga minyak ini, saya tidak terkejut jika Kerajaan dan Menteri Kewangan akan memotong lagi peruntukan-peruntukan bantuan kepada golongan-golongan miskin dan B40 ini.

Kedua, Kerajaan akan meminjam lagi duit berbillion ringgit untuk menutup lompong belanjawan ini. Ini akan meningkatkan lagi defisit dan hutang negara.

Tidak sampai setahun Kerajaan PH memerintah, hutang negara telah meningkat berpuluh billion ringgit serta defisit juga meningkat. Ini tidak termasuk hutang tipuan sebanyak 1 trillion ringgit rekaan mereka sebelum ini.

Ketiga, Kerajaan akan menjual lagi aset Negara berkemungkinan besar kepada kroni mereka (dan mungkin dengan harga yang murah).

Semasa zaman Tun Mahathir jadi Perdana Menteri pertama kali pada tahun 80an dan 90an dahulu, beliau menggelar langkah penjualan aset Kerajaan ini sebagai dasar “Penswastaan”.

Namun yang untung dan kaya raya dengan dasar penswastaan ini adalah bukannya rakyat, namun beberapa orang kroni sahaja.

Sebaliknya, yang tertekan adalah rakyat yang terpaksa menanggung bayaran konsesi kepada syarikat-syarikat kroni yang “diswastakan” ini selama berpuluh tahun. Kini perkara ini berulang kembali dalam “Penswastaan Kroni 2.0”.

Ketiga-tiga pilihan di atas yang sedang dan akan dilakukan oleh Kerajaan PH dan Menteri Kewangan ini akan menerukkan lagi keadaan rakyat dan Negara. Ianya umpama tikus membaiki labu.

Apabila perkara-perkara di atas berlaku, maka lengkaplah formula meranapkan ekonomi Negara oleh Kerajaan PH dan Menteri Kewangan ini.

Sudahlah ekonomi kita akan kecundang akibat dasar-dasar mereka yang telah dan akan mengakibatkan berpuluh-puluh ribu orang kehilangan pekerjaan, harta Negara juga mungkin akan habis dijualnya.

Kita perlu buat sesuatu.

ISHAM JALIL
20 Disember 2018

0 comments on “IMPLIKASI KEJATUHAN HARGA MINYAK DUNIA KEPADA BAJET 2019 DAN PENJUALAN ASET KERAJAAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: