Kenyataan

BN PERLU LETAK CALON ORANG ASLI DI PRK CAMERON HIGHLANDS

Saya telah terlibat dengan kerja-kerja jentera pilihanraya sejak PRU-7 pada tahun 1980an.

Saya bermula dengan menampal poster untuk BN sejak kecil membantu ibu-bapa saya yang merupakan jentera UMNO akar umbi yang tegar dan setia.

Sejak itu saya telah berpengalaman membuat hampir semua gerak kerja pilihanraya termasuk membuat kajian sikap, merayu undi, membawa pengundi ke tempat mengundi dan sebagainya.

Dalam Pilihanraya Umum ke-14 yang lepas, saya tidak terlibat di dalam War Room BN Pusat.

Namun demikian, sebelum PRU, saya telah terlibat secara langsung dalam War Room BN untuk pilihanraya-pilihanraya kecil (PRK) sejak PRK Teluk Intan pada tahun 2014 yang dimenangi BN menewaskan DAP.

Selepas itu saya terlibat dalam PRK Pengkalan Kubur pada tahun 2014 menewaskan PAS; dalam PRK Permatang Pauh pada tahun 2015 mengurangkan majoriti PKR; dan dalam PRK Sungai Besar pada tahun 2016 menewaskan PAN.

Pada pilihanraya umum yang lepas, di Parlimen Cameron Highlands, BN telah menang.

Datuk Sivarajjh yang mewakili BN telah mendapat 10,307 undi menewaskan Manogaran yang mewakili PKR yang mendapat 9,710 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Namun kali ini, BN bukan lagi kerajaan. Kita tidak lagi mempunyai kekuatan kewangan dan logistik seperti sebelum ini.

Oleh itu kini risiko untuk BN hilang kerusi ini kepada DAP telah meningkat. Apa yang tinggal kepada kita adalah semangat juang, pengalaman serta akal fikiran.

Untuk PRK Cameron Highlands kali ini, pada pandangan saya, untuk menangani risiko dan masalah di atas, peluang BN untuk menang adalah lebih baik sekiranya BN meletakkan calon orang asli.

Ini bukanlah kerana saya tidak yakin MIC boleh menang di sini, saya pasti calon MIC mempunyai peluang menang di Cameron Highlands seperti Datuk Sivarajjh sebelum ini.

Sebelum ini MIC telah menang di Cameron Highlands pada PRU-13 dan PRU-14 dengan majoriti tipis sebanyak 462 dan 597.

Cadangan saya ini adalah kerana sebab-sebab berikut:

Pertama, undi penentu di Cameron Highlands sebenarnya terletak di tangan pengundi orang asli seramai 6,964 orang yang mewakili lebih 21% pengundi di Cameron Highlands.

Pengundi Melayu di sini adalah seramai 10,820 (34%), Cina 9,524 (30%) dan India 4,798 (15%).

Dalam PRU yang lepas, lebih 60% daripada pengundi Melayu telah mengundi BN. Dan sebahagian besar daripada pengundi Melayu yang tidak mengundi BN telah mengundi PAS iaitu seramai lebih 3,500 orang.

Undi Melayu di sini rata-rata tidak menyokong PKR atau DAP dari dulu.

Adalah dianggarkan hampir kesemua pengundi Cina di sini telah mengundi PKR dalam PRU-14 yang lepas, dan dijangka pada PRK kali ini hampir kesemua mereka akan mengundi DAP.

Undi India pula terpecah kepada dua iaitu kepada BN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Pada PRK kali ini ianya akan pecah tiga kepada BN, MyPPP dan PSM.

Orang asli pula rata-rata menyokong BN sebelum ini. Tahap sokongan yang tinggi daripada orang asli inilah yang menyebabkan BN boleh menang tipis di Cameron Highlands pada pilihanraya-pilihanraya umum yang lepas.

Saya jangkakan tahap sokongan berdasarkan kaum tidak akan banyak berubah dalam PRK ini berbanding PRU-14.

Namun apa yang menjadi persoalan ialah peratus keluar mengundi yang biasanya rendah dalam PRK berbanding PRU.

Ini adalah kerana ramai pengundi luar yang balik mengundi semasa PRU dijangka tidak akan balik mengundi semasa PRK.

Hal ini telah dilihat dalam setiap pilihanraya kecil. Jika peratus keluar mengundi rendah, maka BN mungkin akan hilang majoriti tipis yang diperolehi sebelum ini dan mungkin kalah di kerusi ini.

Dan hal ini menjadi lebih teruk sekiranya orang asli tidak keluar mengundi. Walaupun orang asli di sini kebanyakannya bukan pengundi luar, namun mereka tinggal di 14 kampung orang asli yang jauh dan terpencil yang menyukarkan mereka untuk keluar mengundi.

Tanpa kekuatan lojistik dan sokongan jentera kerajaan seperti dahulu, adalah bertambah sukar untuk menaruh harapan supaya orang asli keluar mengundi kali ini.

Saya tahu kawasan Cameron Highlands ini dan telah pergi ke sana termasuk ke perkampungan orang asli semasa saya berkerja di TNB dua puluh tahun yang lepas dan beberapa kali selepas itu ketika lawatan kerja ke empangan hidroelektrik di sana.

Kedua, peluang BN akan menjadi lebih cerah apabila PAS tidak meletakkan calon di Cameron Highlands pada PRK kali ini.

Jika kebanyakan daripada 3,500 pengundi yang mengundi PAS pada PRU lepas keluar mengundi BN kali ini, maka BN mempunyai peluang lebih cerah untuk menang.

Penyokong-penyokong PAS di sini mungkin akan lebih bersemangat untuk keluar mengundi sekiranya calon BN itu adalah orang Melayu Islam atau orang asli yang beragama Islam.

Analisa di atas telah dibuat berdasarkan kepada maklumat-maklumat umum yang terbuka dan bukannya rahsia.

Oleh itu saya pasti kedua-dua belah pihak yang merangka strategi untuk BN mahupun PH telahpun tahu akan situasi di atas dan membuat persiapan yang sewajarnya.

Kita berusaha dengan menggunakan akal sebaik mungkin. Walaubagaimanapun, menang atau kalah adalah di tangan Allah.

Ketiga, dari segi moral, sebelum ini tidak pernah ada ahli parlimen yang mewakili orang asli di Dewan Rakyat sejak Merdeka.

Dan Parlimen Cameron Highlands ini mempunyai peratusan jumlah pengundi orang asli yang tertinggi di Malaysia. Serta, masalah-masalah di sini adalah masalah setempat melibatkan tanah, pendidikan dan kebajikan orang asli.

Oleh itu telah tiba masanya untuk orang asli diberikan peluang dan sokongan untuk mewakili dan membela untung nasib mereka sendiri di Dewan Rakyat, bukan sahaja untuk Parlimen Cameron Highlands ini tetapi juga mewakili orang asli di seluruh pelusuk negara.

Saya harap BN akan membawa hasrat ini untuk kelangsungan perjuangan orang asli di Malaysia.

ISHAM JALIL
9 Januari 2019

0 comments on “BN PERLU LETAK CALON ORANG ASLI DI PRK CAMERON HIGHLANDS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: