Uncategorized

MENGAPA SPR PENDEKKAN MASA MENGUNDI DI KAWASAN BN NAMUN PANJANGKAN MASA MENGUNDI DI KAWASAN PH DI PRK CAMERON HIGHLANDS

Oleh: ISHAM JALIL

Semalam Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengeluarkan senarai tempoh mengundi di daerah-daerah mengundi di DUN Jelai dan DUN Tanah Rata untuk PRK Parlimen Cameron Highlands seperti dalam lampiran di bawah.

Pada minggu lepas saya telah membuat saranan kepada SPR yang disampaikan melalui jentera BN di Cameron Highlands supaya tempoh mengundi di beberapa daerah mengundi di DUN Jelai dipanjangkan.

Ini adalah kerana jarak yang jauh di antara peti-peti undi dan penempatan pengundi terutamanya di perkampungan-perkampungan Orang Asli dan gugusan-gugusan FELDA di DUN Jelai berbanding di DUN Tanah Rata.

DUN Jelai adalah berkeluasan 480km persegi (120 ribu ekar) atau empat kali ganda lebih luas berbanding DUN Tanah Rata yang mempunyai keluasan 120km persegi (30 ribu ekar).

Walaupun DUN Tanah Rata mempunyai jumlah pengundi lebih ramai iaitu 19,586 pengundi berbanding DUN Jelai yang mempunyai 12,520 pengundi, jumlah daerah peti undi dan saluran di DUN Tanah Rata adalah lebih banyak iaitu sebanyak 16 daerah peti undi berbanding di DUN Jelai sebanyak 12 daerah peti undi.

Oleh itu dari segi matematik, kedua-dua DUN mempunyai kepadatan peti undi dan kepadatan saluran mengundi yang lebih kurang sama iaitu dengan purata seramai lebih kurang seribu pengundi di setiap daerah peti undi di kedua-dua DUN.

Namun demikian, dari segi geografi dan praktikal, DUN Jelai mempunyai sebaran pengundi yang lebih meluas iaitu seluas 6 kali ganda lebih besar iaitu 10 ekar setiap pengundi berbanding DUN Tanah Rata yang mempunyai sebaran pengundi lebih kecil iaitu seluas 1.5 ekar setiap pengundi.

Jarak daripada satu peti undi ke satu peti undi juga adalah lebih jauh di DUN Jelai berbanding di DUN Tanah Rata.

Ini bermaksud pengundi di DUN Jelai perlu bergerak lebih jauh ke peti undi (secara purata enam kali ganda lebih jauh) untuk membuang undi berbanding di DUN Tanah Rata dan ini memakan lebih banyak masa di DUN Jelai berbanding di DUN Tanah Rata.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, di setengah-setengah kawasan Orang Asli di DUN Jelai seperti di Pos Senderut, sebahagian besar pengundi perlu bergerak sejauh 20km ke 40km untuk membuang undi.

Tambahan lagi, berbanding di DUN Tanah Rata, keadaan jalan hutan yang kurang memuaskan di kawasan pendalaman DUN Jelai ini menyukarkan dan melambatkan lagi pengundi untuk pergi membuang undi di peti-peti undi tersebut.

Sebab itu sebelum ini saya telah sarankan supaya tempoh mengundi di beberapa peti undi di DUN Jelai seperti di Pos Senderut dan Pos Betau dilanjutkan kepada sekurang-kurangnya sehingga pukul 4:00 petang dan bukan ditutup awal pada pukul 2:00 petang dan 3:30 petang.

Pemimpin-pemimpin masyarakat setempat termasuk Tok-tok Batin di sini juga bersetuju dengan saya berkenaan hal ini.

Oleh sebab-sebab di atas, sepatutnya tempoh masa mengundi adalah lebih panjang di DUN Jelai dan lebih pendek di DUN Tanah Rata dan bukannya sebaliknya.

Namun nampaknya SPR tidak mengendahkan saranan saya, jentera BN dan pengundi setempat seperti di atas.

Sebaliknya SPR telah menetapkan tempoh mengundi yang pendek di kebanyakan peti-peti undi di DUN Jelai iaitu sehingga pukul 2:00 petang ke 3:30 petang sahaja berbanding tempoh masa yang lebih panjang di DUN Tanah Rata iaitu sehingga pukul 5:30 petang.

Oleh itu keputusan yang ditetapkan oleh SPR berkenaan tempoh masa mengundi di kedua-dua DUN di Cameron Highlands ini adalah songsang.

Alasan ringkas SPR memendekkan tempoh mengundi di DUN Jelai adalah atas sebab-sebab keselamatan.

Keputusan dan alasan SPR seperti di atas adalah tidak masuk akal langsung.

Saya, yang pernah ke kawasan pendalaman ini, dan pemimpin-pemimpin masyarakat di sana tidak yakin dengan penjelasan SPR ini yang umpama melepas batuk di tangga dan ada udang di sebalik batu.

Dengan tempoh masa mengundi yang terhad dan songsang seperti yang ditetapkan oleh SPR ini, ia menyulitkan dan memberi lebih kekangan kepada pengundi-pengundi di DUN Jelai iaitu DUN yang dimenangi BN pada PRU-14 yang lalu untuk membuang undi dalam tempoh yang ditetapkan, dan sebaliknya memberikan kelebihan kepada pengundi-pengundi di DUN Tanah Rata iaitu DUN yang dimenangi DAP pada PRU-14 yang lalu.

Keadaan ini juga menyulitkan pengundi-pengundi majoriti Melayu dan Orang Asli di DUN Jelai untuk membuang undi.

Ini bukanlah soal kaum, namun berdasarkan sejarah keputusan pilihanraya-pilihanraya sebelum ini di sini, ianya telah menjadi fakta bahawa majoriti pengundi di Jelai iaitu pengundi Bumiputera termasuk Orang Asli menyokong BN manakala majoriti pengundi di Tanah Rata menyokong PH (DAP).

Saya berpendapat keputusan SPR berkenaan tempoh masa mengundi seperti di atas memberikan “undue advantage” atau kelebihan yang tidak sepatutnya kepada PH dan “undue disadvantage” atau kekangan yang tidak sepatutnya kepada BN dalam PRK Cameron Highlands ini dan mewujudkan keadaan yang tidak adil dan “double standard”.

SPR sepatutnya bertindak lebih telus, adil dan profesional.

Namun demikian, walaupun dengan cabaran dan tekanan tambahan yang dikenakan ini, saya yakin bahawa jentera dan penyokong-penyokong BN akan tetap istiqamah dan tabah.

Kita perlu melawan ketidakadilan ini dengan undi yang lebih banyak untuk BN di hari mengundi nanti.

Ayuh kita tunjukkan kepada mereka bahawa kita akan tetap lawan dan menang walaupun pelbagai tekanan, rintangan dan ketidakadilan dilontarkan kepada kita.

Seperti yang saya pernah laungkan dahulu sebelum ini: Lagi mereka tekan, lagi kita lawan.

ISHAM JALIL
Presiden Sukarelawan Malaysia
/Penyokong Tegar BN
25 Januari 2019

0 comments on “MENGAPA SPR PENDEKKAN MASA MENGUNDI DI KAWASAN BN NAMUN PANJANGKAN MASA MENGUNDI DI KAWASAN PH DI PRK CAMERON HIGHLANDS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: