Kenyataan Utama

DUA SEBAB HUJAH RAIS YATIM LEMAH

raisyatimijazah

Oleh: ISHAM JALIL

Kepada penyokong PH yang cuba menegak benang basah berkenaan isu ijazah palsu menteri-menteri dan timbalan menteri kerajaan dengan hujah “tak perlu ijazah untuk masuk politik” (termasuk Tan Sri Rais Yatim, Ong Kian Ming dan Mukhriz Mahathir):

Ada dua perkara mengapa hujah anda adalah sangat lemah:

Pertama, untuk masuk politik, betul tidak perlu ijazah.

Namun menteri-menteri dan timbalan menteri yang terkait dalam isu tipu ijazah ini adalah bukan sahaja ahli politik biasa tetapi mereka juga adalah anggota pentadbiran negara.

Ada perbezaan di antara bermain politik dan mentadbir negara.

Sesuatu yang popular dalam politik tidak semestinya baik dalam mentadbir negara, dan vice versa.

Negarawan-negarawan ulung pastinya tahu akan hal ini.

Jika seseorang bijak berpolitik tetapi tiada kelulusan, beliau masih boleh memegang jawatan dalam parti.

Sesiapa pun boleh jadi ketua bahagian atau presiden parti Bersatu, DAP, PKR atau PAN tanpa ijazah; itu tidak dipersoalkan.

Tetapi untuk memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran awam dan kerajaan, sebaiknya ahli politik itu sekurang-kurangnya perlu ada ilmu pengetahuan, latihan dan kemahiran yang dibuktikan dengan sijil atau ijazah.

Jika beliau ada pengalaman dalam pentadbiran atau perkhidmatan awam sebelum dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri dalam anggota pentadbiran kerajaan, ianya adalah lebih afdal.

Sebab sebagai anggota pentadbiran awam, lebih-lebih lagi di peringkat menteri atau timbalan menteri, yang dibayar gaji berpuluh ribu oleh rakyat dan diamanahkan dengan kuasa yang besar, mereka perlu membuat dasar dan keputusan-keputusan penting untuk rakyat.

Dan dasar-dasar negara dan keputusan-keputusan ini berkaitan dengan permasalahan yang kompleks yang memberi kesan kepada kehidupan jutaan rakyat.

Dan di peringkat ini, keputusan-keputusan ini tidak boleh dibuat secara semberono, “trial-and-error”, atau sambil lewa.

Ia perlu pengetahuan dan pemikiran yang mendalam untuk menyelesaikan masalah negara dan rakyat.

Jika dasar atau keputusan yang dibuat salah, jutaan rakyat akan terkesan: sebagai contoh ekonomi akan merudum, ratusan ribu rakyat hilang pekerjaan, kehidupan rakyat tertekan, hubungan kaum merekah, hubungan luar negara tegang dan sebagainya.

Jika seorang menteri tiada ilmu pengetahuan atau kemahiran, maka beliau terpaksa bergantung dan mudah terpengaruh kepada nasihat-nasihat orang lain.

Dan nasihat-nasihat ini adalah pelbagai dan bercanggahan dan datang dengan pelbagai agenda.

Jika tiada ilmu dan kemahiran, beliau tidak akan dapat membuat pertimbangan sendiri dengan bijaksana untuk membuat keputusan dan memberikan halatuju dasar untuk rakyat dan untuk pegawai-pegawai dan penjawat-penjawat awam di kementeriannya.

Mungkin sebab itu kita ada menteri-menteri PH yang salah titik perpuluhan, suruh menoreh getah pada musim tengkujuh, suruh nelayan tanam nenas, menipu usahawan muda dan sebagainya.

Ijazah ini penting, jangan kita nafikan kepentingan pendidikan.

Walaupun demikian, tidak semua orang mampu ke menara gading atas pelbagai sebab.

Dan tidak dinafikan walaupun gagal dalam akademik namun mereka juga masih boleh berjaya dalam kehidupan.

Namun jangan sekali-kali kita mempromosi naratif anti-pendidikan seperti “tidak perlu ada sijil sebab orang itu atau si polan-si polan (e.g. Mark Zuckerberg etc.) pun boleh berjaya tanpa habis belajar atau tanpa ijazah universiti”, dan sebagainya.

Ini adalah naratif pemikiran sempit yang merencat pencarian pengetahuan untuk kemajuan (in the pursuit of knowledge for progress).

Sebagai seorang bapa, saya tidak akan sekali-kali menidakkan atau memperlekehkan kepentingan pendidikan kepada anak saya dalam apa jua konteks.

Saya yakin menteri-menteri PH yang terlibat dalam isu ini semua tahu akan hal ini di dalam hati mereka, sebab itu mereka sanggup menipu untuk menunjukkan mereka ada ijazah walaupun ianya palsu.

Perkara kedua, soal yang lebih penting ialah soal moral, integriti dan kebolehpercayaan (trust):

Soal utama isu ini sebenarnya ialah bukan soal ada ijazah atau tidak, isunya ialah mengapa menipu dengan ijazah palsu.

BN dahulu pun pernah ada menteri yang tidak ada ijazah seperti Tun Ghaffar Baba dan Dato’ Seri Ahmad Bashah.

Pemimpin-pemimpin ini amat dihormati rakyat dan tidak pernah menipu berkenaan kelulusan mereka.

Orang yang tiada ijazah bukan hina dan masih boleh berjaya jika berusaha lebih dan istiqamah.

Seperti yang saya kata sebelum ini, jika tiada ijazah cakap sahaja tiada ijazah, tidak perlu menipu.

Rakyat tidak boleh menerima anggota pentadbiran kerajaan terutama di peringkat menteri atau timbalan menteri yang menipu.

Jika mereka boleh tipu pasal sijil dan ijazah, apa lagi perkara yang akan atau telah ditipunya?

Kita tidak mahu pemimpin-pemimpin kerajaan yang rakyat tidak boleh percaya.

Kita mahu pemimpin yang bukan sahaja kompeten tetapi juga mempunyai nilai integriti dan moral yang tinggi dalam kerajaan.

Rakyat marhaen di kedai kopi kata: Kerajaan Malaysia Baru PH ini sudahlah tidak kompeten dan menyusahkan rakyat, kini makin terbukti kuat menipu dan tidak boleh dipercayai langsung.

Dahulu sudah tipu manifesto.

Kini terbongkar tipu sijil pula.

Lepas itu tipu lagi kata tak tahu.

Asal buka mulut sahaja menipu.

Bertaubatlah.

0 comments on “DUA SEBAB HUJAH RAIS YATIM LEMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: