Kenyataan Utama

LEBIH BAIK UNTUK ANWAR JIKA PH KALAH DI SEMENYIH (DAN MENGAPA TUN MAHATHIR DAN BERSATU AMAT TAKUT PENYATUAN UMNO-PAS)

Oleh: ISHAM JALIL

anwarkonspirasi

Pilihanraya kecil DUN Semenyih ini tidak akan mengubah Kerajaan Negeri, jauh sekali Kerajaan Persekutuan.

PH telah menakluki Dewan Undangan Negeri Selangor dengan memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN dalam PRU-14 yang lepas.

Jika PH kalah PRK DUN Semenyih ini, ia hanya akan menambah satu lagi kerusi DUN pembangkang kepada hanya 6 untuk melawan 50 ADUN Kerajaan PH di dalam dewan.

Jumlah ini masih jauh tidak seimbang menyebelahi Kerajaan PH daripada segi bilangan undi di dalam dewan untuk menggubal undang-undang dan dari segi pentadbiran.

Oleh itu dari segi ini sebenarnya jika PH kalah di PRK Semenyih ini pun tidak mengapa.

Mereka masih terlalu kuat di dalam DUN.

Oleh itu mengapa Tun Mahathir, Bersatu dan Azmin Ali bersungguh sangat mahu menang di PRK Semenyih ini?

Jawapannya tidak ada kena mengena dengan kuasa pentadbiran kerajaan atau kekuatan menggubal undang-undang, namun ianya berkait rapat dengan politik dalaman dalam PH.

Keputusan PRK Semenyih ini akan mengubah lanskap kuasa politik antara pemimpin-pemimpin dalam PH.

PRK Semenyih ini adalah pertandingan Bersatu lawan BN, bukan PH lawan BN. Sebab PKR (Anwar) dan DAP sebenarnya akan rugi jika PH menang di Semenyih.

Ini adalah kali pertama Bersatu, parti Perdana Menteri Tun Mahathir bertanding PRK selepas PRU-14.

Sebelum ini PKR telah menang dua kali di Sungai Kandis dan Port Dickson, dan DAP telah menang sekali di Balakong dan kalah sekali di Cameron Highlands baru-baru ini.

PH telah kalah di Cameron Highlands kerana Bersatu dan Tun Mahathir, pihak yang bertanggungjawab terhadap undi Melayu untuk PH, telah gagal menarik undi Melayu dan Bumiputera.

Jika PH kalah lagi kali ini di kerusi majoriti Melayu yang mana calon Bersatu yang bertanding, maka terbuktilah parti Bersatu ini ditolak oleh orang-orang Melayu.

Ini mendatangkan masalah besar kepada Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir untuk meneruskan kelangsungan parti Bersatu yang baru ini dalam PH.

Sebenarnya Bersatu dan Tun Mahathir tidakpun berjaya menarik orang Melayu seperti yang dicanang pada PRU-14 yang lepas.

Mengikut data dan kajian pelbagai sumber, 75 peratus orang-orang Melayu tidak mengundi PH pada PRU-14 yang lepas.

BN tumbang pada PRU-14 yang lepas bukanlah kerana tsunami Melayu yang menyokong Tun Mahathir seperti yang diuar-uarkan, namun kerana perpecahan undi Melayu di antara UMNO dan PAS dalam pertandingan tiga penjuru melawan PH.

Jika UMNO dan PAS bergabung, maka PH tidak akan menang Kerajaan Persekutuan.

Sebab itu pemimpin-pemimpin PH amat takut dengan penyatuan UMNO dan PAS ini dan sedaya upaya cuba menghalangnya, kerana satu-satunya cara untuk mereka (PH) terus berkuasa adalah untuk terus memecahbelahkan orang Melayu.

Tindakan mereka ini tidak ada asas moral kerana mereka ingin berkuasa atas sebab perpecahan orang lain.

Sebaliknya asas tindakan mereka ini adalah atas kepentingan dan kelangsungan kuasa politik mereka semata-mata.

Sebab itu orang-orang Melayu tidak akan terpedaya dengan helah Tun Mahathir dan Bersatu ini.

Apabila pemimpin-pemimpin Bersatu menyatakan yang mereka pula ingin menggantikan UMNO sebagai pejuang orang-orang Melayu, ini adalah untuk kelangsungan politik mereka dalam PH untuk kekal relevan.

Tugas mereka dalam PH hanya satu iaitu untuk memecahbelahkan undi Melayu supaya DAP boleh terus berkuasa.

Namun kini Bersatu bercita-cita untuk menguasai PH pula.

Sebab itu mereka menarik ahli-ahli Parlimen UMNO untuk masuk Bersatu dan pada masa yang sama melemahkan kekuatan Anwar Ibrahim dalam PKR.

Dan kini selepas PRU-14, dinamik politik telah berubah di mana PH tidak lagi boleh menang PRU akan datang dengan mengharapkan perpecahan orang Melayu melalui pertandingan tiga penjuru antara UMNO, PAS dan PH.

Oleh itu bagi PKR dan DAP, Tun Mahathir telah habis kegunaannya untuk PH menumbangkan BN, dan kini beliau menjadi ancaman pula kepada PKR dan DAP dalam PH dengan kemasukan Ahli-ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu.

Ahli-ahli Parlimen UMNO yang melompat masuk Bersatu ini tentunya akan menguatkan kedudukan Tun Mahathir dalam PH, namun ianya tidak menguatkan kedudukan PH dengan orang-orang Melayu sebab akar umbi UMNO tidak mengikut dan menyokong langkah Ahli-ahli Parlimen UMNO yang melompat parti ini malah menganggap mereka sebagai pengkhianat dan pengambil kesempatan (opportunist) yang tidak berprinsip.

Jika Tun Mahathir dan Bersatu masih tidak berjaya mendapat sokongan orang Melayu, maka Bersatu dan Tun Mahathir hanya akan menjadi beban dan ancaman dalaman kepada DAP dan PKR dalam PH dan PH terpaksa mencari formula lain untuk menang PRU-15.

Sekiranya Bersatu kalah di PRK Semenyih ini mereka akan jadi tidak relevan.

Tun Mahathir pun akan menjadi tidak relevan.

Jika ini berlaku, peluang Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri akan menjadi cerah.

Sebaliknya, jika Bersatu menang, ia akan menguatkan kedudukan Tun Mahathir dalam PH dan sebagai Perdana Menteri.

Juga, DAP akan lebih bergantung kepada Tun Mahathir dalam PH dan ini tidak baik untuk DAP.

Dan Anwar Ibrahim terpaksa menunggu lebih lama lagi untuk menjadi Perdana Menteri atau mungkin langsung tidak akan jadi sebab kemenangan di Semenyih akan memberi Tun Mahathir lebih banyak ruang dan masa untuk memposisikan orang lain sebagai pengganti beliau termasuk Azmin.

Walaupun masih dalam PKR, Azmin kini telah menjadi duri dalam daging kepada penyokong-penyokong Reformasi yang asal.

Azmin dilihat sebagai seorang opportunist yang sanggup mengenepikan perjuangan rakan-rakannya dan parti PKR hanya kerana kepentingan politik dan cita-citanya.

Selepas Anwar menang di Port Dickson, beliau sepatutnya terus dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri jika Tun Mahathir ikhlas ingin menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam tempoh dua tahun seperti dijanji.

Dengan ini Anwar boleh mula membayangi Perdana Menteri dan bersiap-siap dan melibatkan diri dengan lebih rapat dalam pentadbiran kerajaan serta menggunakan kemudahan kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk bergerak di dalam dan luar negeri dan tidak perlu guna jet peribadi swasta lagi.

Namun Anwar tidak dilantik apa-apa jawatan oleh Tun Mahathir, dalam Majlis Tindakan Ekonomi pun nama beliau tidak tersenarai walaupun beliau berpengalaman menjadi Menteri Kewangan dan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor dahulu.

Saya pasti orang-orang Anwar seperti Wan Azizah, Rafizi, Nurul Izzah, Nik Nazmi dan lain-lain dalam PH dan PKR tahu dan boleh baca akan hal ini, mereka lebih lama dalam politik berbanding Syed Saddiq, Rina Harun dan Maszlee yang baru masuk PH tetapi terus jadi menteri.

Jika Tun Mahathir dan Bersatu menang di Semenyih dan menjadi semakin kuat dalam PH, maka sia-sialah perjuangan reformasi Anwar dan PKR selama 20 tahun menentang Mahathir; di pengakhirannya Anwar dan orang-orangnya tetap kalah dan terpaksa tunduk kepada Tun Mahathir.

Kesannya Anwar dan orang-orangnya akan terus disisih dalam Kerajaan dan DAP akan hilang “leverage” atau kurang genggaman ke atas Tun Mahathir dan Bersatu.

Oleh itu, jika mereka fikir secara rasional dan tidak naive dalam politik, sebenarnya adalah lebih baik untuk DAP dan PKR (kecuali Azmin) jika Bersatu kalah di PRK Semenyih ini.

ISHAM JALIL
16 Februari 2019

P/S: Saya mulanya tidak mahu komen berkenaan masalah dalaman PH, namun mereka kini adalah Kerajaan dan masalah dalaman mereka memberi kesan kepada pentadbiran negara dan rakyat.

0 comments on “LEBIH BAIK UNTUK ANWAR JIKA PH KALAH DI SEMENYIH (DAN MENGAPA TUN MAHATHIR DAN BERSATU AMAT TAKUT PENYATUAN UMNO-PAS)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: