Uncategorized

TIGA LANGKAH POLITIK AZMIN

TIGA LANGKAH POLITIK AZMIN

Oleh: ISHAM JALIL

Dalam perang (dan politik) untuk menang kita perlu mengkaji dan mengetahui pergerakan musuh.

Adalah sukar untuk kita menang perang jika kita tidak mengenal atau mengambil tahu tentang musuh yang kita perangi.

Dalam sejarah, tidak banyak perang yang dimenangi dengan menembak semberono kepada musuh yang tidak diketahui.

Atau dengan mengambil kira hanya kekuatan dan kelemahan kita sahaja tanpa mempedulikan kekuatan dan kelemahan musuh.

Lebih teruk jika kita berdiam diri dan tidak menembak musuh walaupun musuh memberi “bola tanggung”.

Dalam politik Malaysia masa kini, sekurang-kurangnya kita perlu ambil tahu apa yang berlaku dalam PH sebab PH kini adalah kerajaan, oleh itu apa yang terjadi dalam PH memberi kesan kepada rakyat dan kepada kita semua.

……..

Untuk menjadi Perdana Menteri, Azmin perlu menjadi Presiden parti.

Adalah tidak masuk akal jika Timbalan Presiden parti menjadi Perdana Menteri dan Presiden pula ditolak tepi.

Semalam ada ura-ura bahawa Azmin Ali akan keluar PKR.

Sebenarnya dalam kemelut PH ini, Azmin mempunyai tiga pilihan langkah politik:

PERTAMA, Azmin boleh cabar Anwar untuk merampas jawatan Presiden PKR.

Untuk ini PKR tidak semestinya mengadakan pemilihan semula.

Azmin boleh meyakinkan Majlis Pimpinan Pusat PKR untuk memanggil mesyuarat dan mengutarakan usul undi tidak percaya terhadap Anwar dan seterusnya memecat Anwar daripada parti untuk mengosongkan jawatan Presiden.

Majlis Pimpinan Pusat PKR (dan Azmin) mempunyai justifikasi untuk berbuat demikian (memecat Anwar) sekiranya Anwar didapati bersalah terlibat dalam konspirasi video seks yang mengaitkan Azmin dan memalukan serta memecahbelahkan parti.

Inilah salah satu cara yang dimaksudkan oleh Dr. Mahathir bila dia kata isu video seks berkaitan Azmin tersebut akan ditangani dengan “cara politik”.

Mengikut Fasal 9.1 perlembagaan parti PKR, kuasa memecat ahli adalah di tangan Majlis Pimpinan Pusat dan mereka boleh memecat mana-mana ahli termasuk Presiden dengan persetujuan dua per tiga ahli Majlis Pimpinan Pusat.

Dan Fasal 21.12 menyebut jika berlaku kekosongan jawatan Presiden, Timbalan Presiden akan secara automatik mengisi kekosongan jawatan Presiden tersebut.

Majlis Pimpinan Pusat PKR boleh memanggil mesyuarat pada bila-bila masa yang dikehendaki Presiden atau dengan permintaan bertulis daripada satu per tiga daripada ahli Majlis Pimpinan Pusat.

Dan mesyuarat tidak semestinya dipanggil oleh Setiausaha Agong, jika Setiausaha Agong tidak mahu memanggil mesyuarat, pihak yang mewakili satu per tiga Majlis Pimpinan Pusat tersebut boleh memanggil mesyuarat tanpa surat daripada Setiausaha Agong.

Dan sekiranya Presiden tiada, Timbalan Presiden (Azmin) boleh mempengerusikan mesyuarat dengan usul untuk memecat Anwar.

Azmin boleh mengambil langkah-langkah di atas jika dia mahu kekal dalam PKR dan merampas jawatan Presiden daripada Anwar dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Untuk memecat Anwar, Azmin perlu mendapat sokongan dua pertiga atau 39 daripada 58 orang ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Namun angka ini adalah agak mustahil buat Azmin.

Walaupun Azmin mempunyai sokongan dalam PKR, namun sokongan tersebut tidak sampai dua pertiga atau 39 ahli Majlis Pimpinan Pusat oleh itu tidak cukup untuk menjatuhkan Anwar.

Paling kuat Azmin boleh mengumpulkan 28 daripada 58 ahli Majlis Pimpinan Pusat untuk menyokongnya iaitu 13 dari wanita, 6 dari ketua-ketua negeri, dan 9 dari lain-lain.

Ini cukup untuk memanggil mesyuarat namun tidak cukup kuat untuk memecat dan menjatuhkan Anwar.

Untuk menambah dan mendapat cukup sokongan untuk langkah di atas, Azmin perlu meraih simpati daripada Majlis Pimpinan Pusat dan akar umbi PKR.

Oleh itu jika Azmin mahu melaksanakan pilihan pertama di atas (merampas kuasa dari Anwar), dia (Azmin) perlu tunggu Anwar memecatnya supaya akar umbi PKR bersimpati dengannya (Azmin) lantas memaksa lebih ramai ahli Majlis Pimpinan Pusat untuk menyokongnya.

Anwar tidaklah secerdik Mahathir (sebab itu dia selalu kena tipu dek Mahathir), tetapi Anwar juga tidaklah sebodoh itu untuk memecat Azmin.

Sebab itu Anwar telah berkata bahawa dia tidak akan pecat Azmin.

Oleh itu Azmin kini umpama digantung tidak bertali dalam PKR.

Azmin tidak ada banyak pilihan. Pilihan yang tinggal kepada Azmin adalah keluar PKR.

Saya pasti Azmin akan keluar PKR, jika bukan sekarang lambat laun dia akan keluar juga.

Dia tidak ada pilihan lain. Persoalannya hanyalah bila dan bagaimana.

……..

KEDUA, Azmin boleh keluar PKR dan masuk parti lain.

Semalam ada ura-ura juga mengatakan yang Azmin akan masuk parti Gerakan.

Saya tidak rasa Azmin akan mengambil langkah ini.

Sebab Parti Gerakan tidak kuat dan sudah ada Presiden dari kalangan bukan Melayu.

Penyokong-penyokong mereka juga kebanyakannya adalah bukan Melayu.

Sekiranya Azmin masuk Gerakan dan menjadi Presiden, dia akan menjadi Presiden parti yang lemah malah tidak akan mendapat sokongan akar umbi daripada partinya sendiri.

Sebab itu apabila ada pihak menyebarkan khabar angin Azmin masuk Gerakan semalam, orang-orang yang peka politik rata-rata semacam tidak percaya.

Namun jika Azmin memilih juga pilihan ini, maka Azmin tidaklah secerdik mana dan memang patut dipermainkan Anwar.

……..

Pilihan yang praktikal dan munasabah untuk Azmin ialah masuk Bersatu.

Azmin memerlukan platform dan Bersatu pula memerlukan ahli parlimen.

Pengerusi Bersatu Dr. Mahathir boleh meminta Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk memberi laluan kepada Azmin untuk menjadi Presiden.

Sebagai Perdana Menteri, Mahathir boleh memberi timbal balasan kepada Muhyiddin supaya mengikut telunjuknya.

Sebagai contoh Muhyiddin boleh dilantik sebagai Yang diPertuan Besar satu negeri yang tidak bersultan.

Muhyiddin pernah melawan Pak Lah dan Najib sebelum ini. Tetapi dia tidak akan berani lawan Mahathir.

Oleh itu Muhyiddin akan terpaksa setuju dengan Mahathir untuk memberikan laluan kepada Azmin.

Muhyiddin tentunya tahu dia bukanlah material Perdana Menteri.

Dan Azmin boleh membawa 10 orang ahli parlimen bumiputera yang menyokongnya dari PKR ke Bersatu.

Ini akan menguatkan Bersatu dan meletakkan Azmin di landasan yang kukuh untuk menjadi Perdana Menteri.

Dan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz iaitu anak Mahathir, akan gembira dan menerima Azmin dengan tangan terbuka kerana dia akan kini dilindungi Azmin pula dalam politik apabila ayahnya sudah bersara.

Dan Mukhriz barangkali fikir dengan ini dia bolehlah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya Perdana Menteri kelak seperti yang dicita-citakannya.

Sebelum ini Mukhriz pun pernah berkata bahawa dia bersedia untuk mengikut jejak langkah ayahnya.

Dengan ini, Azmin, Mahathir, Mukhriz dan Bersatu semuanya akan untung.

Jika Azmin dan Bersatu tidak mengambil langkah ini, maka sahlah ada sesuatu yang pelik dan bercelaru sedang berlaku dalam Bersatu.

……..

KETIGA, Azmin boleh keluar PKR dan tubuh parti baru.

Ini adalah langkah bunuh diri politik untuk Azmin.

Jika dia ambil langkah ini maka dia sememangnya bodoh dan langsung tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri.

……..

Seorang Perdana Menteri perlulah bijak supaya boleh menyelesaikan masalah rakyat dan supaya tidak mudah ditipu oleh sesiapa.

Dan pada saya, layak atau tidak seseorang itu untuk menjadi Perdana Menteri atau pemimpin bukan sahaja dikira daripada sama ada dia bijak atau tidak, namun dia juga perlu mempunyai pegangan moral dan integriti yang tinggi supaya dia jelas boleh membezakan yang baik dengan yang buruk, yang ma’ruf dengan yang mungkar, dan yang benar dengan yang batil.

Tanpa pegangan ini, perjuangan pemimpin tersebut akan menjadi sesat dan orang-orang yang dipimpin akan dizalimi.

Allah SWT jauhkanlah kita daripada pemimpin yang sesat dan yang zalim.

ISHAM JALIL
26 JULAI 2019

0 comments on “TIGA LANGKAH POLITIK AZMIN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: